Morfologi adalah bahagian pembentukan perkataan dalam tatabahasa. Buku ini khusus memberi pedoman kepada pensyarah, guru dan pelajar bahasa Melayu. Huraian yang diberikan berlandaskan Tatabahasa Dewan tetapi contoh dan latihannya sengaja diperluas dengan tidak menggunakan apa yang ada dalam Tatabahasa Dewan, supaya guru dan pelajarnya menjadi kreatif dalam menggunakan bahasa Melayu. Edisi pertama buku ini diterbitkan oleh Fajar Bakti dengan tajuk Penerbitan Kata dalam Bahasa Malaysia (1986), dan laporan perpustakaan UPSI menunjukkan rekod pinjamannya sangat tinggi. Oleh sebab itu edisi keduanya diusahakan semula bagi keperluan para pensyarah, guru dan pelajar bahasa Melayu.
Dr. Abdullah Hassan adalah Profesor Emeritus di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak (sejak 2001). Sebelum ini beliau adalah Pensyarah dan Profesor Bahasa Melayu di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (1972–1997); dan Profesor Komunikasi di Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur (1997–2001)