Kebijaksanaan Melyn dan firasat Merkia, magia adi yang menguasai Jalan Telus, menyaksikan kemunculan Spiara Bulwar, senjata legenda yang menakluki naga dan monstra. Demi menumbangkan Sursis, yang tidak mempunyai tandingan di medan perang.
Namun segala-galanya bermula sebelum itu, pada zaman yang sudah berlalu, sewaktu Imru memerintah Aurora dari Toar Tirana dan Orde Karmawizra masih gemilang di Toar Nebula. Dengan seorang perantis bernama Nazril, yang satu hari nanti bakal memegang sutaf Helang Siluman, menjadi wizra gelanggang angin dan bayang. Perjuangannya bakal menggegar Takhta Bayang di Toar Magzul, mencabar
penguasaan para morduwizra dan empayar Morrok, sehingga detik kemunculan Artakus.
Dan dia paling terkenal, dengan hanya satu gelaran.
Wizra.
Ahmad Patria Abdullah, dilahirkan pada 26 Mei 1968 merupakan anak sulung kepada Sasterawan Negara, Dato’ Abdullah Hussain. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, dari tahun 1975 hingga tahun 1980. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara Kuantan, Pahang. Pada tahun 1988, beliau diterima masuk ke Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia dan menamatkan pengajian pada tahun 1992.
Beliau mula dikenali dengan siri novel fantasi Saga Artakusiad, di mana beliau disebut sebagai pelopor kepada sastera fantasi di negara ini. Novel pertama beliau, Permata Aurorius, buku pertama dalam siri fantasi Saga Artakusiad diterbitkan pada 1987 sewaktu beliau berumur 17 tahun. Lebih membanggakan, novel ini terpilih memenangi anugerah Book of the Year oleh Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan pada tahun yang sama. Datoʼ Johan Jaafar dalam temu ramahnya dalam akhbar Berita Harian menyifatkanPermata Aurorius sebagai novel fantasi terbaik pernah dihasilkan dalam bahasa Melayu.