Saringan oleh: Darulkautsar.net
Artikel asal oleh: Maulana Muhammad Asri Yusoff
Banyak sekali terdapat dalam kitab-kitab tasauf, sirah dan maulid kenyataan yang menunjukkan bahawa kejadian pertama alam semesta ini adalah Nur Muhammad. Kenyataan seperti ini telah menimbulkan banyak pula fahaman-fahaman lain berhubung dengan Rasulullah s.a.w seperti Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai bayang, tergila-gilanya perempuan-perempuan kepada ayahanda Nabi s.a.w. ketika Nur Muhammad dikatakan memancar di dahinya sampai membawa mereka mati dan sebagainya.
Ia juga mendekatkan kepada konsep “Nur Panjthan” (yang bermaksud, Nabi Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan dan Husain) yang dikatakan berlegar-legar mengelilingi arasy sebelum kejadian alam semesta selama 50,000 tahun mengikut ajaran Syiah. Ia juga merupakan punca kesesatan golongan Barelwi yang mempercayai bahawa Nabi Muhammad bukannya seorang manusia biasa dari segi kejadian asalnya tetapi kejadiannya berbeza dari yang lain kerana ia adalah Nur yang terpancar daripada nur Allah. Untuk ini banyak sekali ayat-ayat Al-Quran ditakwilkan dengan sewenang-wenangnya dan banyak pula hadis-hadis yang sahih diketepikan atau diabaikan langsung.
Walaupun pengarang kitab-kitab sirah dan maulid dan juga pengarang-pengarang kitab-kitab tasauf itu mengemukakan riwayat tentang Nur Muhammad tetapi tidak pula mereka menyatakan sanadnya, di samping tidak diketahui langsung punca-puncanya yang boleh dipertanggungjawabkan. Kalaupun ada, hanya satu hadis yang dikatakan telah dikemukakan oleh Abdul Razak dalam “Musannaf”nya, InsyaAllah akan dibahaskan kemudian. Tetapi anehnya banyak lagi perincian yang tidak terdapat di dalam hadis Abdul Razak itu tentang Nur Muhammad dapat kita lihat dalam riwayat-riwayat yang dikemukakan mereka. Sebagai contohnya, dapat kita lihat pada muka surat pertama lagi daripada kitab “Madariju As-Suud” karangan Muhammad Nawawi Bantan, syarah kepada kitab Maulid Nabawi karangan Syed Jaafar yang lebih dikenali sebagai “Al-Barzanji”. Kitab tersebut dibuka dengan puji-pujian kepada Allah yang telah memulakan wujud ini dengan Nur Muhammad yang meresap dalam segala perkara yang ditakdirkan Allah sebelum diciptanNya langit dan bumi selama 50,000 tahun.