Warisan tamadun tidak bermakna jika ia tidak membawa kegemilangan pada zaman ini dan zaman yang akan datang. Apa yang penting bukan sejarah, tetapi ialah pengaruh sejarah yang boleh membawa kebahagiaan kepada masyarakat. Usaha mengekalkan tamadun lama tidak harus menyebabkan masyarakat menjadi lemah dan ketinggalan ke belakang. Tamadun yang tidak berubah, yang beku dan tidak dapat membentuk cara, nilai dan amalan yang baru, demi penyesuaian dan keperluan masa dan tempat, akan mati dan luput akhirnya. Hasrat menghidupkan semula ciri-ciri tamadun Melayu lama tidak harus tertumpu kepada perkara remeh-temeh yang bukan sahaja tidak bermanfaat malah meningkatkan perbezaan antara bangsa Melayu dengan bukan Melayu.