نَحْمَدُهُ وَنَصَلِّي عَلىَ رَسُولِهِ الْكَرِيمِ...أَمَّا
بَعْدُ!
Dalam kehidupan
seharian kita banyak berlaku perkara yang berkebetulan dengan kehendak kita, seperti seorang
yang berjalan dengan niat untuk menemui seorang kawan dan dengan tiba-tiba
terjumpa orang tersebut diperjalanan, atau seorang yang amat dahagakan air,
tiba-tiba dia membuka peti ais dan mendapati di hadapannya sebotol air yang
sejuk. Perkara seperti ini menjadi sebab kegembiraan bagi kita. Dalam keadaan
seperti ini hendaklah kita menjadikan kebiasaan bagi diri kita untuk mengucap
syukur kepada Allah, dan kalimah kesyukuran ialah mengucapkan perkataan ‘الحمد لله’ seperti doa yang terbaik
yang telah diajarkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.
Demikian juga banyak perkara yang berlaku bertentangan dengan sesuatu yang kita sukakan, lalu menjadikan kita
berduka, seperti dalam keadaan cuaca yang amat panas kita membuka suis kipas
dan tiba-tiba kita dapati tiada eletrik, atau kita bersungguh-sungguh berusaha
mendapatkan bas dan dalam usaha untuk sampai ke arah bas tersebut tiba-tiba bas
itu berlalu dan terlepas di hadapan mata kita. Dalam keadaan seperti ini maka
kita hendaklah melatih membiasakan diri kita dengan bersabar, dan kalimah sabar
ialah
‘إِنَّا للهِ وَإِنَّا إِلَيهِ رَاجِعُونَ’. Dengan bersyukur maka dijanjikan bertambahnya nikmat Allah S.W.T. dan dengan bersabar diberikan berita gembira bahawa Allah akan bersama
dengannya.
Kemudian dalam kehidupan seharian pasti
ada saat-saat berlaku kesilapan yang bertentangan dengan kemahuan dan keredhaan
Allah, sama ada berlaku kekurangan dalam menyempurnakan perkara-perkara fardu
atau wajib, atau berlaku perbuatan meninggalkan perkara yang sunat atau berlaku
perbuatan dosa kecil mahupun besar, maka dalam keadaan seperti ini sewajibnya
kita menjadikan kebiasaan bagi kita untuk senantiasa bertaubat, beristighfar
dan memohon kemaafan daripada Allah S.W.T., dan kalimahnya ialah dengan mengucapkan ‘أستَغفِرُ الله’. Apabila ‘beristighfar’
dijadikan saluran kepada kemaafan maka di sana juga ada keredhaan Allah S.W.T. Natijah daripada itu ialah Allah S.W.T. akan mengurniakan keberkatan dalam kehidupan dunia ini dan Allah
juga akan memudahkan segala kesulitan serta Allah juga akan menjauhkan musibah yang
mendatang.
Ketiga-tiga perkara ini ialah sesuatu
yang seringkali berlaku sama ada dalam bentuk nikmat, musibah atau maksiat yang
mana untuk itu diberikan syukur sabar dan istighfar. Perkara yang keempat ialah
keadaan yang akan datang yang berkaitan dengan zaman yang panjang. Bermula daripada
sekarang sehinggalah maut dan selepas maut sehinggalah memasuki syurga. Untuk
perlindungan dan keselamatan sepanjang zaman inilah Rasulullah S.A.W. telah menghadiahkan kepada umat Baginda ‘الاِستِعاذة’ yang menjadi pelindung
kepada setiap urusan dunia dan akhirat, kecil mahupun besar. Apa-apa jua yang
Rasulullah S.A.W. pohonkan pemeliharaan daripadanya bukanlah suatu perkara yang remeh
bahkan pastinya ia adalah perkara yang amat penting. Oleh yang demikian amatlah
penting bagi setiap orang Islam bahawa disamping menjadikan kebiasaan dengan
ucapan ‘الحمد لله’
pada saat gembira dan mengucapkan “إنا لله” pada saat berduka dan mengucapkan istighfar daripada setiap
dosa, mereka juga seharusnya menjadikan kebiasaan untuk senantiasa ‘beristiʿazah’ (memohon perlindungan) dengan Allah daripada setiap keburukan.
Untuk memudahkan para pembaca doa-doa
ini disusun dalam bentuk tujuh (7) manzil supaya mereka yang tidak dapat
membaca keseluruhan doa dalam satu masa dapat membaca doa-doa ini dengan
perkiraan hari yang diberikan dan membacanya selama satu minggu.