Muhammad Haji Salleh pernah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu dan dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Institut Bahasa, Kebudayaan Kesusasteraan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1978, beliau dilantik menjadi profesor kesusasteraan ketika berusia 36 tahun. Pada tahun 1977-1978, Muhammad menjadi profesor pelawat, di North Carolina State University, Raleigh, North Carolina, Amerika Syarikat dan menjadi asian scholar in residence di University Michigan. Dalam tahun 1992-1993, beliau dipilih menjadi Fullbright Visiting Reseacher, di University of California, Berkeley dan seterusnya menyandang kerusi pengajian melayu di Universiti Leiden, Netherlands, dari tahun 1993-1994.
Ketokohan Muhammad Haji Salleh dalam dunia penulisan puisi melayu moden mendapat pengiktirafan apabila telah terpilih menjadi Sasterawan Negara dalam tahun 1991 dan menerima anugerah S.E.A. Write Award di Bangkok dalam tahun 1997.